TEMA : 1 SEKOLAH 1 BLOG KE ARAH TRANFORMASI PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Jumaat, 24 Februari 2012

7 Langkah Meningkatkan & Memantapkan Keyakinan Diri

1. Bina Paradigma dan Prinsip Hidup yang Mantap

Benteng semangat juang ialah moto diri atau falsafah hidup seseorang. Moto atau falsafah hidup adalah pegangan, prinsip atau pendirian yang dijadikan sebagai asas panduan mencapai kejayaan.

Antara moto hidup atau peribahasa yang diterima oleh masyarakat kita ialah seperti:  "
Belakang parang kalau diasah lagikan tajam" (Biar bodoh sekalipun kalau belajar bersungguh-sungguh, nescaya akan menjadi pandai juga.) Atau, "Genggam bara api biar sampai jadi arang" atau "Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan", atau "Kalau tidak dipecahkan royong, manakan dapat sagunya" yang bermaksud menyuruh kita membuat sesuatu pekerjaan dengan sabar dan cekal sehingga berjaya.

Lebih banyak kata-kata motivasi atau pembangkit semangat yang anda dapat tanamkan pada diri anda, akan lebih teguhlah pendirian anda dan lebih yakin pulalah anda terhadap kemampuan serta potensi diri anda. Insya-Allah.

2. Kenalpasti dan Tetapkan Matlamat & Halatuju Hidup
Seseorang yang tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas  seolah-seolah meniti kehidupannya dalam keadaan gelap yang tidak pasti akan ke mana sampainya.

Agar anda lebih yakin pada diri anda binalah matlamat dan hajatuju kehidupan anda secara bertulis.

Nyatakan apakah tujuan hidup atau matlamat jangka panjang anda dengan jelas. Untuk matlamat-matlamat jangka pendek atau sederhana, anda hendaklah tetapkan tarikh bila matlamat atau matlamat-matlamat anda itu anda harus capai.


3. Bina Pelan Tindakan Kejayaan Diri
Setelah anda sudah membina matlamat-matlamat yang jelas dan mantap serta moto-moto hidup yang hebat, anda hendaklah membuat pula pelan tindakan kejayaan diri secara bertulis.

Dengan adanya perancangan kejayaan diri anda secara bertulis, anda akan sentiasa dapat merujuk pelan tindakan anda, memperbaiki atau mengubahnya mengikut keperluan.

4. Sentiasa Tingkatkan Ilmu Pengetahuan, Pengalaman serta Pendedahan
Dengan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan, bukan sahaja anda akan dapat mengikuti atau mengetahui perkara-perkara baru atau isu-isu semasa malah anda akan dapat pula menggunakan pengetahuan atau ilmu-ilmu baru itu untuk meningkatkan lagi keupayaan anda menangani cabaran-cabaran semasa.

Pelbagai cara yang anda boleh lakukan untuk mendapatkan ilmu baru. Antaranya adalah seperti membaca buku-buku, membaca artikel-artikel, menghadiri kursus atau seminar, bertukar-tukar pendapat dengan rakan-rakan, membuat lawatan sambil belajar, mengikuti latihan praktikal dan banyak lagi.

5. Tingkatkan Kemahiran Diri
Anda akan lebih yakin diri apabila anda mempunyai kemahiran yang tinggi atau secukupnya dalam melakukan sesuatu kerja. 

Sebagai contoh, salah satu sebab mengapa ramai orang yang sangat takut apabila diminta bercakap di hadapan penonton ialah kerana belum adanya atau cukupnya kemahiran seseorang itu bercakap di hadapan audiens.

Salah satu cara berkesan untuk mengatasi kegugupan, ketakutan atau ketidakyakinan itu ialah dengan cara mempelajari secara bersungguh-sungguh setiap aspek tentang pengucapan awam disamping membuat seberapa banyak latihan berucap sehinggalah kemahiran pengucapan awam itu dapat dikuasai dan menjadi sebati pada diri.

Ini dengan sendirinya akan meningkatkan serta memantapkan  keyakinan diri anda.

6. Amalkan Keteraturan dan Kesiapsiagaan
Biasanya kita akan merasa risau atau rasa tertekan apabila khidmat kita diperlukan secara tiba-tiba dalam keadaan kita tidak atau kurang bersedia.

Antara contoh situasi seperti ini ialah kes dimana seorang pelajar yang hanya mula menelaah pelajaran di saat-saat akhir. Dalam keadaan begini, biasanya pelajar akan mengalami kegusaran dan ketidakyakinan akan menyelubungi dirinya. Suasana begini juga juga boleh berlaku kepada pekerja-pekerja yang mempunyai amalan kurang baik iaitu suka menangguh-nangguhkan kerja.

Untuk mengelakkan daripada keadaan negatif seperti itu, kita mestilah menerapkan pada diri kita amalan pengurusan masa dan diri yang baik. Amalan proaktif juga haruslah ditanamkan iaitu  dengan sentiasa memastikan tempat kerja dan kerja diatur dengan sistematik, sentiasa membuat persiapaan dan pemantauan untuk memastikan diri kita sentiasa bersedia dan dapat bertindak balas dengan pantas dan cekap setiap kali khidmat kita dikehendaki.

7. Jaga Kualiti Kesihatan, Kecergasan & Ketrampilan Diri
Kesihatan diri kita amat berkait rapat dengan keyakinan diri. Jika kesihatan diri kita baik, badan kita juga sudah tentunya lebih cergas. Jika kurang sihat atau sakit-sakit, badan kita akan lemah, fikiran jadi kusut dan kurang bermaya. Keadaan begini boleh menjejaskan keyakinan diri kita.

Antara perkara-perkara yang mesti kita lakukan secara berterusan untuk memastikan kesihatan diri kita sentiasa baik ialah dengan menjaga pemakanan kita, sentiasa cukup tidur (7-9) jam sehari, mengamalkan pergerakan badan / senaman setiap hari ( 10 minit - 2 Jam), membuat pemeriksaan kesihatan diri serta mendapat rawatan perubatan bila-bila masa ada kesakitan.

Selain itu, menjaga penampilan diri juga amat penting untuk memastikan diri kita sentiasa berasa yakin, sihat dan cergas.

Kesimpulan
Dengan langkah-langkah di atas dapat anda tanamkan pada diri anda, saya yakin bukan sahaja anda lebih yakin pada diri anda sendiri malah anda akan lebih produktif, lebih gembira, lebih berjaya serta lebih berketrampilan dan menarik disamping akan menjadi contoh teladan yang cemerlang kepada orang lain pula. Insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan